Tuesday, October 21, 2008

SUMBANGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM BIDANG KEWARTAWANAN


1. MUKADIMAH

Apabila kita memerkatakan IT dan Kewartawanan, maka kedua-dua disiplin ini merupakan antara cabang yang terdapat dalam bidang KOMUNIKASI yang masing-masing mempunyai pendekatan dalam menyampaikan/melaporkan informasi, tetapi masih memperlihatkan perkaitan dan kepebagaian untuk saling memerlukan antara satu sama lain.

Jika demikian, tentulah IT (Teknologi Maklumat) dan bidang kewartawan dilihat sebagai suatu PROSES saling membantu dalam mencerakinkan informasi itu agar diterima oleh setiap individu dan masyarakat, sebagai ilmu sesuai dengan adab dan moralnya.

Sebab itu, IT dijadikan agenda utama Negara, maka kita perlu mempertingkatkan ilmu serta penguasaan sebaik mungkin dalam bidang tersebut dan tidak seharusnya meminggirkan diri, apatah lagi membelakangkan kehadiran teknologi maklumat itu.

Justeru, bidang kewartawanan tentu sekali menganggap bahawa ia sebagai suatu peluang dan kesempatan agar perolehan serta perisian yang ada dalam IT itu member pulangan yang sebaik-baiknya, walaupun terpaksa dalam keadaan bersaing dengan maklumat yang ditawarkan oleh Barat.


Ini semua boleh dilakukan, apabila kewartawanan itu sendiri akur dengan sumbangan yang disediakan oleh IT itu sebagai cabaran dalam memperbaiki mutu pemberitaan yang seimbang, apatah lagi dalam memperkayakan kandungan setempat untuk dimaklumkan kepada masyarakat Negara ini.

Jadi, dalam mencari ketetapan, kertas kerja ini akan hanya membincangkan tajuk persoalan iaitu tentang konsep dan proses IT dalam sumbangannya di bidang Kewartawanan. Ia tidak secara khusus membincangkan tentang undang-undang dan kawalan terhadap perisian dalam IT itu sendiri.

Namun ia boleh dikaitkan secara umum sebagai ruang perbincangan dalam mengeksploitasi kekuatan dan kelemahan yang terdapat kedua-dua disiplin. Tetapi yang penting ialah bagaimana perkembangan IT itu dilihat sebagai PROSES pembolehubah kepada kewartawanan dan sebaliknya.


2. KONSEPSI

Sebelum menjelaskan tentang istilah IT dan Kewartawanan, maka perlu ditakrifkan istilah KOMUNIKASI dan PROSES, kerana segala tindakan yang dilakukan oleh IT dan Kewartawanan berpegang kepada konsep asas Komunikasi dan Kefahaman tentang Prosesnya berjalan.

Istilah komunikasi ialah konsep asasnya untuk mewujudkkan PERSAMAAN antara penyampai dan penerima sama ada dua individu atau lebih. Bagi menentukan supaya informasi yang disampaikan itu boleh diterima. Ini bermakna mereka berusaha berkongsi idea, pendapat, pemikiran yang sama atau hamper-hampir sama (Mansor, Ramli & Shawaluddin, 1984).

Dalam membangunkan masyarakat, ternyata komunikasi mempunyai peranan yang utama mempengaruhi pemikiran dan perlakuan manusia. Melalui komunikasi proses pengdemokrasian dalam masyarakat dapat dijelmakan, dalam erti kata individu-individu dan kumpulan-kumpulan dalam masyarakat secara koletif dapat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan.


Sementara itu, istilah PROSES dalam konteks komunikasi membawa maksud sebagai satu fenomena yang sentiasa berugah mengikut masa. Ia juga bermaksud tidak ada permulaan dan akhirnya. Elemen di dalam prose situ adalah berkaitan dan ada perhubungan dan pertalian antara satu sama yang lain, sentiasa bergerak, dynamis dan mengalami perubahan (Berlo Bab 2 “A Model Of Communication Process”).

Namun demikian, sesuatu yang tidak dianggap sebagai proses ialah apabila sesuatu itu tidak ada hubungan dan pertalian antara satu sma lain atau sesuatu itu tidak saling mempengaruhi atau tidak wujud perkongsian maklumat antara penyampai dan penerima. Misalnya; sumber informasi cuba membincangkan isu tentang masalah petanian di kawasan yang majority penduduknya terdiri daripada golongan nelayan, maka sudah pastinya agenda perbincangan itu tidak mendapat respon, kerana apa yang disampaikan itu tidak memenuhi keperluan mereka.

Teknologi maklumat (IT)ialah secara mudahnya merupakan penggunaan komputer dan system telomunikasi iaitu komputer berfunsi untuk menerima, memproses, menyimpan dan mengeluarkan maklumat, sementara system telekomunikasi pula membolhekan maklumat dihantar dari satu tempt ke tempat yang lain dengan pantas sekali. Selaoin itu maklumat disediakan dalam pelbagai bentuk seperti teks, grafik dan video (MAMPU, 1997).

Teknologi Maklumat (IT) juga secara umumnya merujuk kepada teknologi yang terhasil dari perkembangan pesat dibidang komputer dan telekomunikasi. Gejala komunikasi ini telah mewujudkan kaedah baru untuk memproses, menghasilkan, menyimpan, memprolehi, menganalisa dan menyebar maklumat daripada sumber-sumber maklumat kepada pengguna/penerima maklumat di tahap antara perseorangan, organisasi, nasional serantau dan dunia (Rahmah Hashim 1991:196).

Namun demikian, maklumat yang diterima belum tentu memberi makna yang diperlukan. Sebenarnya ia akan memberi implikasi yang berbeza-beza mengikut tafsiran penerima maklumat. Sebab itu dalam konteks IT, perisiannya (data/maklumat) perlu dirancang mengikut kesesuaian.

Perkataan Kewartawanan berasal daripada istilah “Warta” yang dalam bahasa Melayu bererti “Perkhabaran”. Yang demikian, seorang “wartawan” ialah kerjanya memberi perkhabaran, baik melalui suratkhabar, radio, mahupun melalui televisyen (Ghazali Ismail 1967:1).


Dalam bahasa Inggeris perkataan ini disebut “Journalis”dan boleh juga disebut sebagai “wartawan” sahaja. Dalam bahasa Inggeris maksud dan perkataan itu boleh dinyatakan dengan dua istilah yang saling berbeza bunyinya. Sesetengah wartawan England lebih suka menggunakan perkataan “Newspaperman” untuk wartawan daripada menggunakan perkataan journalist. Walau bagaimanapun kedua istilah sama ertinya. Tidak ada perbezaan antara kedua perkataan tersebut, malah sama ada dipanggil “journalist” atau “newspaperman”, maka wartawanlah yang dimaksudkan itu (Ibid 1967:2).


3. SUMBANGAN IT DALAM BIDANG KEWARTAWANAN

Setelah kita mengetahui takrifan beberapa maksud istilah seperti; Komunikasi, Proses, IT (Teknologi Maklumat) dan Kewartawanan, maka ia memperlihatkan bahawa ke empat-empat ini saling wujud perhubungan dan pertalian iaitu saling mempengaruhi antara satu sama lain. Hal yang demikian, sekurang-kurangnya kita boleh mengetahui tentang proses sumbangan IT boleh mempengaruhi aktiviti bidang kewartawanan menerusi media yang diwakilinya sama ada media cetak ataupun media eletronik.

Teknologi maklumat yang hadir pada hari ini menerusi pelbagai saluran seperti komputer, internet dan lain-lain media elektronik ialah dikatakan proses golobalisasi ataupun kesejagatan kea rah satu masyarakat yang akan kenal mengenali antara satu sama lain sepertimana maksud konsep “Global Village” (McLuhan:18).

Walaupun barangkali realitinya istilah kejagatan dalam pelbagaiannya seringkali tenggelam dalam kejagatan yang didominasi oleh Negara Barat. Apapun keadaannya yang penting ialah kita perlu kepada penyesuaian dan membentu mekanisma dalam menghadapi hal tersebut.


Berdasarkan keadaaan itu, tentunya IT harus dilihat sebagai suatu yang dapat memberi sumbangan sebagai pembolehubah kepada bidang kewartawanan. Pihak wartawan pula memanfaatkannya agar diri mereka sentiasa besedia dan menerima cabaran itu untuk meningkatkan kualiti pemberitaan dalam satu-satu laporan yang dilakukan.

Pesoalannya, bagaimanakah sifat globalisasi yang dipersembahkan oleh IT itu boleh dimanfaatkan oleh wartawan dalam menjelaskan pelbagai maklumat melalui penulissanya di dalam pelbagai disiplin media, agar masyarat (pengguna/penerima) diberi kesedaran dan lantas menganggap ia sebagai satu cabaran dan iktibar atas kerelitiannya serta menafikan kseandainya sesuatu itu bertentangan dengan moral dan budaya Negara.

Kalau Negara luar mampu mengekploitasi sesuatu isu menggunakan kekutan Teknologi Maklumat, apakah kemampuan IT yang ada di Negara ini tidak mampu dan berupaya berbuat demikian. Peralatan yang canggih (IT) di Negara boleh digunakan oleh wartawan kita untuk menjelaskan kepada dunia sejagat, apabila timbulnya isu global yang perlu penjelasan tentang pendirian pemimpin dan Negara kita.

Misalnya, antara topic paling hangat tentang globalisasi yang rancak diperkatakan ialah tentang serangan matawang, budaya barat, islam dikaitkan dengan keganasan dan sebagainya.


Sekiranya isu sejagat itu telah menimbulkan imej yang tidak baik dan mencabar maruah Negara. Maka isu global itu tidak akan dibiarkan mencemar maruah Negara, bahkan kepantasan teknologi maklumat yang dimiliki oleh Negara juga mampu digunakan oleh wartawan dalam menyakinkan dunia luar.

Sebab itu dalam konsep asas komunikasi, FRAME OF REFERENCE selalu digunakan sebagai pendekatan penyaluran maklumat, supaya penyampai dan penerima sentiasa saling mengikut rentak masing-masing bagi mewujudkan persefahaman dalam proses yang berterusan. Wartawan sebagai cabang dalam bidang ini bukan setakan beku dalam alam dirinya, bahkan harus menari mengikut rentak alam dunia sejagat. Kalau wartawan barat mampu menghuruhara satu-satu isu, wartawan kita harus mampu berbuat demikian hanya dalam konteks kepentingan dan mempertahankan maruah Negara dan mempelajari ilmu IT agar wartawan tidak turut
tenggelam daripada didominasikan oleh pemikiran Barat.

Sesuatu yang dianggap rahmat, apabila kewujudan IT ini akan sekaligus menyedarkan pihak wartawan tentang betapa peranan mereka terus berkembang mengikut arus perkembangan IT masa kini. Perubahan ini akan memberi peningkatan bukan sahaja setakat kerja-kerja pemberitaan, tetapi juga dunia kewartawanan perlu ada perubahan dari aspek mental dan rohaniah. Perubahan itu akan menguatkan iltizam untuk sama-sama maju dan seiring seperti yang tercapai oleh Negara maju. Apabila kita dapat membentuk Frame itu dalam pemikirankita, maka setiap wartawan pasti mampu menggelak segala tohmahan yang buruk tentang politik dan ekonomi Negara, malah terhadap budaya.


Sebagaimana juga yang terdapat dalam konsep komunikasi iaitu semakin berkembangnya penggunaan teknologi maklumat, maka semakin bertambah pula aktiviti pemberitaan yang dilakukan atau semakin bertambah manfaat yang harus diperolehi oleh pihak kewartawanan.

Sumbangan Teknologi Maklumat dalam bidang kewartawanan yang jelaslah membantu wartawan mendapatkan maklumat yang terkini dengan cepat dan pantas, bagi keperluan aktiviti pemberitaan. Selain itu komputer boleh digunakan oleh wartawan dengan cara yang mudah dan faedah yang boleh diekspoitasikannya. Demikian juga internet menyajikan pelbagai ragam maklumat sebagai pilihan kepada wartawan serta wartawan boleh menghantar maklumat melalui e-mail ke destinasi yang dituju cara yang paling cepat dan pantas dan tidak lagi perlu mengirim laporan berita melalui pos dan lain-lain yang boleh membazir masa dan tenaga.

Secara umumnya kemudahan-kemudahan yang diperolehi oleh pihak kewartawanan bagi menambahkan keberkesanan kerja dalam membuat pelaburan berita antaranya:
i. Setting/rekabentuk/Kemas
ii. Memudahkan proses penyuntingan
iii. Menyedia maklumat terkini dalam/antarabangsa (internet)
iv. Menghantar laporan berita pantas/cepat (e-mail)
v. Menyimpan maklumat/sengan dirujuk
vi. Menjimatkan masa dan tenaga
vii. Berita akhbar boleh diiikuti melalui internet
viii. Memperoleh ilmu/kemahiran
ix. Sistematik
x. Meningkatkan produktiviti


Namun demikian, apa yang penting sekarang ini pihak wartawan perlu mempunyai mekanisma dengan mengamalkan dan mempertahankan Kod Etika Kewartawanan sebagai benteng agar tidak dipengaruhi oleh informasi yang ditawarkan oleh Negara Barat dengan kelangsungannya merencanakan sifat-sifat dan nilai budaya dan peradaban Barat.

Persoalannya, apakah Kod Etika Kewartawanan itu? Menurut Magnis (dalam Mus Chairil Samani & Chin Ah Peng 1991:103) mendefinisikan etika sebagai “nilai moral bersifat ideal yang ada hubungannya dengan perosalan baik buruk”. Dengan kata lain etika merupakan garis panduan yang ideal untuk menuntun para petugas dalam sesuatu bidang itu melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah. Etika memerlukan penghayatan individu, penghayatan ini datangnya daripada hati sanubari individu itu sendiri. Ini bermakna kod etika berbeza daripada undang-undang. Sedangkan undang-undangan merupakan peraturan yang dikanun oleh kerajaan. Kod etika kewartawanan di Negara ini bukan bersifat undang-undang tetapi mengandungi cita-cita murni yang harus diamalkan oleh setiap individu dalam sesuatu profesion. Amalan itu harus dilaksanakan dengan. penuh kejujuran…. (Ibid, 1991:104).


Selain itu, Tatasusila Kewartawanan dalam konteks di Malaysia adalah seprti berikut (Ibid, 1991:113);
i. Melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang lain
ii. Menyiarkan berita secara jujur
iii. Maklumat yang disiarkan tidak benar, hendaklah diperbetulkan
iv. Menghormati kerahsiaan sumber berita
v. Mengelakkan diri daripada fitnah/hasutan/rasuah
vi. Menghindar siaran berita/rencana bersifat perkauman
vii. Memahami peraturan Negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka.


Sesungguhnya dengan berpegang kepada kod etika dan tatasusila kewartawanan, maka segala data/maklumat yang diperolehi melalui IT tidak akan dieksploitasi dalam konteks mencari keuntungan dan kepentingan peribadi yang akan menyebabkan masyarakat hilang keyakinan terhadap profesion kewartawanan.

Memandangkan Teknologi Maklumat (IT) sudahpun bermula dan keajaibannya menjadikan maklumat dari seluruh dunia seolah-olah berada dihujung jari jemari kita, maka wartawan harus menjadikan ia sebagai cabaran dan bersikap “MUHASABAH” dalam mempengaruhi meningkatkan mutu kewartawanan di Negara ini.



Dalam hal ini untuk menjadi Kewartawanan yang baik, maka wartawan perlu mempunyai ilmu dan kemahiran dalam satu-satu bidang yang dilaporkan. Misalnya, dalam konteks perkembangan teknologi maklumat, ia perlu tahu dan mahir dalam penggunaan ilmu teknologi maklumat.

Menurut Alan Chalkey seorang sarjana dalam bidang kewartawanan pembangunan, menjelaskan bahawa wartawan perlu ada latihan dan pengetahuan untuk satu-satu bidang, supaya mereka boleh membuat liputan yang lengkap dan seimbang…(Sulaiman Masri, 1983:53).

Ini bermakna dengan wujudnya wartawan yang baik, bukan sahaja ia dianggap sebagai pembolehubah kepada IT, tetapi ia juga memperlihatkan proses mempengaruhi yang dilakukan oleh pihak kewartawanan.

Apa yang diperjelaskan itu, memperlihatkan bahawa IT (Teknologi Maklumat) dan Kewartawanan adalah saling berkait dan saling mempengaruhi antara satu sama lain atau sebagai pembolehubah dalam tindakan masing-masing dengan sokongan kaedah dan proses komunikasi itu sendiri.


Dalam menghadapi keadaan “Ledakan Maklumat” yang cepat dan pantas itu kedua-dua elemen ini harus bergerak seiring kerana sifat IT itu sendiri amat nyata kederasannya. Justeru wartawan harus menerima “PARADIGM SHIFT” ini sebagai satu pertukaran yang sah dan sesuai dengan konsep dan falsafah dalam perubahan masyarakat dan zamannya. Kombinasi elemen ini akan membuktikan antara kurikulum dalam istilah komunikasi akan sentiasa berada dalam paradigm shift tersebut.

Walau apapun keadaanya kita harus menerima hakikat bahaw perkembangan IT sesuatu yang pasti berlaku. Ia harus tidak dijadikan halangan untuk membaiki diri (mekanisma), demi kesejahteraan sejagat. Sebagaimana menurut Dr. Mahathir Mohammad (1977:3;
“…kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan. Zaman maklumat akan memaksa kita mengubah cara hidup dan cara bekerja kita. Lebih awal kita sesuaikan diri kita, lebih cepat kita pelajari ilmu-limu baru ini, lebih baik masa depan kita.”

Namun demikian segala isu teknologi maklumat “IT” yang menjadi bahan perdebatan/perbincangan sejak dahulu (untuk lari daripada penerobosan maklumat Barat) hanya suatu harapan sahaja (Metos). Tidak ada apa harus boleh dilakukan kalau hanya setakat kawalan undang-undang/penapisan, melainkan rakyat, harus sama-sama membina benteng moral, nilai akhlak dan agama, terutama wartawan perlu memanfaatkan kemudahan yang sedia ada secara adil, jujur dan amanah.


Keadaan ini memperlihatkan kedaulatan sesebuah Negara tidak boleh dijadikan benteng untuk mengnangkisnya (J.D.Boyd-Baret 1982). Melainkan, setiap individu dan rakyat Negara ini perlu mempunyai “SELECTIVE EXPOSURE” atau “PENDEDAHAN PEMILIHAN” dalam menerima informasi dari Barat mengikut keperluan.

Walaupun realitinya, dikatakan kecanggihan Teknologi Maklumat menyebabkan sesebuah Negara tidak mampu mempertahankan kedaulatan sesebuah Negara, tetapi itu bukanlah satu alas an yang konkrit. Bahkan wartawan tentu mempunyai jawapan tersendiri untuk mentidakkan kenyataan itu, kerana mereka juga komited untuk tidak membiarkan laporan berita yang bercanggah dengan kedaulatan Negara.

Oleh kerana pihak Kewartawanan telah memahami tentang keadaan ini, maka ia perlu menguasai Teknologi Maklumat (IT) bagi sama-sama mengekang berita-berita yang boleh manipulasi dan diputar belit oleh Barat, maka peranan yang harus dimainkan ialah dengan memberi kesedaran atau motivasi kepada setiap individu dan masyarakat tentang memberi ilmu pendidikan moral dan agama kepada anak-anak mereka dalam membina mekanisma/bentang bagi menentukan maklumat-maklumat yang berfaedah sahaja perlu digunakan.


Dalam keadaan yang demikian, komunikasi itu sendiri perlu memainkan peranan untuk membolehkan individu-indvidu dan kumpulan-kumpulan individu secara kolektif mengalami dan menikmati hidup dan khidupan yang lebih baik. Komunikasi pada hakikatnya harus dapat memenuhi keperluan kemanusiaan seperti yang pernah disarankan oleh Maslow (Dalam Mohamad Md. Yusoff, 1993:51);

i) Keperluan Fisiologi (makanan, udara, ruang peralatan dan lain-lain lagi).
ii) Keperluan Keselamatan (untuk mendapat perlindungan daripada cuaca, manusia dan haiwan.
iii) Keperluan berada dalam kumpulan dan mendapat kemesraan dan kasih sayang (famili, keanggotaan dalam kumpulan-kumpulan sosial).
iv) Keperluan “esteem” (untuk mendapat kehormatan dan pengiktirafan diri, dan dari rakan dalam masyarakat).
v) Keperluan “Self-Actualization” (untuk dapat mencapai potensi dan kebolehan diri sendiri).
vi) Keperluan kognitif dan estetik (pengalaman mengenai hubungan diri dengan Tuhan dan masyarakat, serta persepsi terhadap kesenian dan keindahan.






Sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Quran :
“Jangan kamu lemparkan diri kamu kepada binasaan.”
(Al-Baqarah : 195)

Maka segala kemudahan yang diperolehi pada IT itu boleh membantu menyebarkan maklumat cara yang pantas dan adil melalui kombinasi yang dilakukan oleh wartaan berasaskan konsep komunikasi dan prosesnya tentang dasar-dasar pembangunan kerajaan sama ada dalam konteks ekonomi, politik, sosial, keselamatan dan sebagainya, supaya rakyat sama-sama menyertai dan menyokong usaha-usaha kerajaan terutama menuju kea rah Wawasan 2020.



4. KESIMPULAN

Kesimpulannya, Teknologi Maklumat dan Kewartawanan harus bergerak seiring mengikut perubahan revolusi maklumat yang semakin mencabar dan kalau tidak cukup benteng boleh sahaja mengaibkan. Pihak Wartawan perlu mendidik diri, melihat diri dan membetulkan diri sebelum sesuatu yang diperbetulkan kepada orang lain. Maksudnya di sini ialah wartawan perlu mempunyai ilmu dan kemahiran dalam sesuatu bidang yang hendak dilaporkan, demikian juga kemahiran tentang IT itu sendiri.

Perisian maklumat dalam IT perlu memikirkan tentang keperluan dan keinginan pengguna/penerima, agar ia tidak bertentangan nilai dan kepercayaan mereka. Mereka yang mendominasikan IT itu harus memikirkan kepentingan sejagat, agar apa yang disumbangkan khususnya kepada kewartawanan dapat digunakan sebagai bahan pelaporan yang menarik untuk kegunaan wartawan itu sendiri.

Apabila setiap elemen memikirkan keperluan sejagat, maka berlakulah satu proses komunikasi yang berkesan, dan seandainya berlaku satu proses, akan terjalinla maklumat yang diperlukan. Jadi sumbangan/kemudahan yang disediakan oleh IT perlu dimanfaatkan oleh wartawan berasaskan pendekatan dalm konsep komunikasi.


Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh:
Materi Bin Olod
Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Media & Komunikasi Korporat
Jabatan Penerangan Sabah, Kota Kinabalu